November 20, 2019

Nabi Isa dan nabi Yahya

Ibu nabi Yahya bernama Isya' (إيشاع )

Para Mufassirin berbeza pandangan tentang hubungan Isya' ini dengan Hannah, isteri Imran yang merupakan ibu kepada Maryam. Isya' itu dikahwini oleh nabi Allah Zakaria dan dia tidak mendapat anak kerana mandul. Hinggalan takdir Allah menentukan lahirnya Yahya dan hilanglah sifat mandul Isya' itu.

Ada dua pandangan mengenai status Isya' tersebut:

1) Dia adalah anak kepada Hannah, iaitu kakak kepada Maryam.

Pandangan ini berasaskan hadis nabi SAW mengenai peristiwa nabi SAW naik ke langit ke-2 dan bertemu dengan nabi Yahya dan Isa. Ketika memperkenalkan mereka, Jibrail menyifatkan mereka dengan katanya:


 وَهُمَا ابنَا الخَالَةِ
Kedau-duanya adalah anak kepada ibu saudara

Perkataan ini membawa maksud bahawa Yahya dan Isa itu masing adalah anak kepada ibu saudara yang lain. Dengan kata lain, emak nabi Yahya adalah ibu saudara kepada nabi Isa, manakala ibu nabi Isa pula adalah ibu saudara kepada nabi Yahya. Jika demikian, Maryam dengan Isya' adalah dua beradik dan mereka anak kepada Hannah. 

Inilah pandangan Jumhur Mufassirin sebagaimana dinukilkan dalam Al-Bidayah wan Nihayah.

2) Dia adalah adik kepada Hannah dan ibu saudara kepada Maryam.

Pandangan ini berasaskan kepada fahaman mengenai ayat yang menyebutkan tentang nazar Hannah sebelum Maryam lahir. Ayat itu memberi isyarat bahawa Hannah tidak dapat anak lalu dia bernazar sehingga lahirlah Maryam. Maryam adalah satu-satunya anaknya. Bagimana pula dikatakan Maryam ada kakak?`

Berpegang dengan alasan itu, hadis yang menyifatkan bahawa Yahya dan Isa sebagai masing-masing anak kepada makcik difahami bahawa kedudukan Isa sebagai anak kepada ibunya yang menjadi saudara kepada Isya', sama statusnya dengan anak saudara juga. Dari segi hukum, jika ibu anak saudara kepada seseorang, anaknya juga dianggap anak suadara kepada orang itu. Maka Isa dianggap anak sudara kepada Isya' walaupun antara dia dengan Isya' ada ibunya.

Justeru, Yahya dan Isa itu disifatkan sebagai anak kepada makcik tidak bertentangan.

Yahya anak kepada makcik Isa iaitu Isya'. Manakala Isa adalah anak kepada sepupunya iaitu Maryam.


Penawar Sakit Gigi

Disebutkan dalam Tafsir Al-Qurtubi, ketika mentafsirkan ayat 26 Surah Al-An'am:

Ditulis ayat di atas atas "kaghid". Kaghid dalam Mu'jam Al-Arabi diertikan "Al-Qirtas", iaitu kertas. Maka tulis ayat tadi atas kertas dan letak atas gigi yang sakit. Demikianlah apa yang disebut oleh As-Tsa'labi.

November 16, 2019

40 Orang tanpa Syirik

عن ابن عباس رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: ما من رجل مسلم يموت، فيقوم على جنازته أربعون رجلاً لا يشركون بالله شيئاً إلا شفعهم الله فيه. 

Hadis riwayat  Ibn Abbas dalam Saheh Muslim mneyebutkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda: Tidaklah mati seorang lelaki, llau solata atas jenazahnya 40 orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, maka Allah akan jadikan doa mereka itu syafaat buat jenazah itu.

Kerana mahu dapatkan angka ini, kedapatan amalan mengupah orang untuk solat jenazah. Lama-kelamaan kebiasaan ini telah mengubah keikhlasan solat jenazah kepada untuk dapatkan duit. Sekarang ini, plaing murah nilai 4 takbir solat jenazah ialah RM 5. Ramai yang datang solat, dalam niatnya sudah tersimpan mahu duit solat jenazah itu.

Maka, ringkas katanya, mereka itu telah berbuat syirik dalam ibadah. Tiadalah faedahnya syafaat yang dijanjikan dalam hadis itu buat si mati.

CARI KANDUNGAN BLOG