November 28, 2020

Wali mesti ada keramat?

Salah satu pemikiran golongan Sufi adalah keramat itu tanda ketinggian maqam. Jika seseorang itu tiada keramat, lalu dikatakan wali, maka ia adalah wali yang dusta. Demikianlah dinaqalkan daripada perkataan As-Syibli dalam Tobaqat Al-Kubra oleh As-Sya'rani (1/89)

As-Sya'rani juga menaqalkan perkataan Muhamamd Al-Ghimari bahawa gurunya Sayyid Ahmad Az-Zahid tidak membernarkan para muridnya duduk atas sejadah kecuali setelah zahir darinya karamah. (TK;2/78)

November 27, 2020

KEBATILAN CERITA MENGENAI AYAH NABI.



Riwayat yang menyebutkan bahawa Abdullah ayah nabi ada wanita lain selain Aminah disebutkan oleh Ibn Ishak. Menurut riwayat yang dibawa oleh Ibn Ishak, pada satu ketika Abdullah mendatangi wanita itu tetapi dia dalam keadaan berdebu. Wanita itu enggan melayaninya. Lalu dia pun membersihkan dirinya dan kemudian mahu pergi kepada Aminah. Ketika itu, wanita yang satu ini memanggilnya, tetapi tidak diendahkannya. Dia mendatangi Aminah sehingga berlaku hubungan antara dia dengan Aminah. Ketika dia mahu kepada wanita itu, wanita itu pun menolak. Alasannya, cahaya putih pada wajah Abdullah telah tiada kerana telah dapat kepada Aminah.



Abu Zuhrah dalam kitabnya, Sirah Nabawiyyah menolak cerita ini dengan beberapa hujjah:



Cerita ini hanya riwayat yang ditunggali oleh Ibn Ishak. Ia tidak dinaqalkan dalam mana-mana kitab hadis yang saheh. kalau benar, tentu ada yang menyebutkannya sebagaimana perihal ayahnya Abdul Mutallib yang disebutkan tentang berapa isterinya dan berapa anaknya. Kedudukan Abdullah tidaklah kurang berbanding ayahnya itu, lebih-lebih lagi Abdullah adalah ayah kepada junjungan besar nabi Muhamamd SAW.


Cerita Abdullah ada isteri lain selain Aminah ini tidak dijelaskan bila dia menikah, bagaimana dan apakah kesudahannya. Kenapa Abdullah berkahwin lebih daripada satu pada usia yang begitu muda? Ketiadaan penjelasan mengenainya menunjukkan cerita ini pelik dan tidak boleh diterima.
Jika dilihat kepada riwayat Ibn Ishak itu, sebenarnya tidak disebutkan bahawa wanita itu isterinya. Wanita itu mengajaknya melakukan hubungan dan Abdullah mahu. Cuma keadaan dirinya yang menyebabkan proses itu lambat. Ini bertentangan dengan apa Nabi sebut bahawa baginda adalah daripada keturunan yang suci dan orang-orang yang bersih. Masakan demikian sifat dan watak Abdullah?


Cerita itu kelihatan tidak konsisten kerana. Penolakan wanita itu pertamanya kerana Abdullah berlumuran debu. Bila Abdullah sudah mandi dan mendatangi Aminah, dia kembali kepada wanita itu, ditolaknya. Alasannya cahaya di muka sudah hilang. Kalau kerana cahaya itu yang menjadi dambaannya, apa masalahnya kalau Abdullah berdebu sekalipun. Bukankah yang diingininya adalah cahaya itu? Jadi cerita itu goyah dan menunjukkan kebatilannya.
Wallahu a'lam



Rujuk : Sirah nabawiyyah oleh Abu Zuhrah.

November 26, 2020

Fimyun menyebarkan agama nabi Isa di Najran


Fimyun ini seorang lelaki soleh yang menganut agama nabi Isa a.s. Agama nabi Isa sebenarnya Islam. Namun, nasrani telah mencalarbalarkannya, maka orang pun sebutkannya agama Nasrani. Hampir tidak dapat dibezakan antara pembawa agama sebenar nabi Isa a.s dengan para penyeleweng yang telah menunggangterbalikkan agama nabi Isa a.s. Lalu, disebutlah Nasrani mewakili agama nabi Isa, padahal ia telah menjadi berkecamuk dengan bid'ah-bida'h yang dibuat oleh pendeta terutama campurtangan raja Constantine.

Fimyun ini berasal dari Syam. Dia lari meninggalkan Syam membawa agamanya. Mungkin dia jadi buruan atau tidak lagi senang hati duduk di Syam yang dikuasai oleh kerajaan Romawi yang kononnya beragama nabi Isa tetapi telah menukarnya menjadi Nasrani. Pengembaraan Fimyun ini menemukan dia dengan seorang anak muridnya yang setia bernama Soleh. Mereka mengembara bersama.

CARI KANDUNGAN BLOG