CARI KANDUNGAN BLOG

"Wahai Saudara Perempuan Harun".

July 22, 2011

يا أخت هارون ما كان أبوك امرأ سوء وما كانت أمك بغيا


Hai saudara perempuan Harun ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang pezina",
(Surah Maryam: Ayat 28)

Maryam, Ibu nabi Isa dipanggil oleh kaum Bani Israil sebagai saudara perempuan Harun. Siapakah Harun tersebut? Apakah ia merujuk kepada nabi Harun yang hidup sezaman dengan nabi Musa A.S? Kalau begitu, bagaimana mungkin, kerana antara zaman nabi Musa dan Harun itu ke zaman Maryam adalah ratusan tahun.

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan mengenai Ka'ab bin Al-Ahbar yang pada ketika telah menyebut: "Sesungguhnya Maryam itu bukanlah saudara kepada Harun yang merupakan saudara kepada nabi Musa". Perkataan itu dibangkang oleh Aishah R.A dengan mengatakan kepada Kaab bin Al-Ahbar: " Kamu pembohong!". Lantas Ka'ab bin Al-Ahbar membalas: "Kalaulah yang mengatakan itu adalah Rasulullah SAW, maka dia adalah benar dan mengetahui yang sebenarnya. Aku mendapati jarak masa antara keduanya adalah 600 tahun". Maka terdiamlah Aishah.

Mengenai siapa Harun yang dimaksudkan itu, para ahli tafsir mempunyai beberapa bentuk pandangan:

1) Harun itu adalah nabi Harun A.S. Maryam dikatakan saudara nabi Harun kerana dia adalah keturunan nabi Harun. Inilah pendapat As-Suddi. Sudah menjadi tradisi dalam masyarakat, penerus akan dikatakan saudara kepada kepada pengasasnya.

2) Harun yang dimaksudkan ialah Harun saudara Musa. Dia meruapakan seorang nabi yang yang menjadi inspirasi dari banyaknya peribadatan kepada Allah SWT. Lalu, nama Harun telah menjadi "masal" (perbandingan) untuk menggambarkan banyaknya ibadat. Maryam yang banyak beribadat itu diberi gelaran saudara Harun.

3) Ada pendapat mengatakan bahawa Harun tersebut adalah seorang lelaki Soleh yang hidup di zaman itu. Pendapat ini sebutkan oleh Qatadah. Pada ketika dia meninggal, 40 ribu orang yang bernama Harun ikut mengiringi jenazahnya. Kerana Maryam solehah dan menyamai jalan ketaatan lelaki itu, dia dikatakan saudara Harun.

4) Imam At-Tobari dalam tafsirnya memetik apa yang disebutkan oleh Ibn Utiyyah bahawa ada pendapat segolongan yang mengatakan bahawa Harun yang dimaksudkan itu ialah seorang lelaki jahat yang terkenal sebagai ahli maksiat hidup di zaman itu. Maka Maryam dikatakan saudaranya sebagai satu cara mencela Maryam.

Imam Muslim dalam sahehnya meriwayatkan sebuah hadis daripada Al-Mughirah bin Syu'bah. Kata Al-Mughirah, ketika rombongan Nasrani dari Najran datang ke Madinah, mereka bertanya beliau mengenai ayat "wahai saudara Harun", sedangkan Musa hidup pada zaman sebelum Isa AS. Mereka berhujah itu dan ini. Lalu Al-Mughirah bertanya kepada Rasalullah SAW. Baginda pun bersabda
:

إنهم كانوا يسمون بأنبيائهم والصالحين قبلهم

" Sesungguhnya mereka memberi nama dengan nama-nama nabi-nabi dan orang-orang Soleh sebelum mereka".

Maka, bolehlah kita buat kesimpulan bahawa nama Harun bukan satu sahaja dalam masyarakat Bani Israil. Mereka gemar menamakan anak-anak yang lahir dengan nama-nama nabi dan orang Soleh kerana mengambil berkat pada nama-nama tersebut. Justeru. apabila Maryam dikatakan saudara Harun, maka pendapat yang mengatakan ia disandarkan kepada lelaki soleh sezamannya yang bernama Harun juga ada kemunasabahannya. Jika Harun tersebut merujuk kepada nabi Harun AS yang hidup sezaman nabi Musa AS, maka kita katakan ia adalah persaudaraan dari segi kesolehan. Memang tidak ma'qul untuk mengatakan saudara dari segi seibu atau sebapa kerana fakta jelas jarak masa yang bertahun antara dua zaman itu.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP