CARI KANDUNGAN BLOG

As-Sabiqunal Awwalun

May 26, 2014

As-Sabiqunal Awwalun sudah tentu dari kalangan orang-orang Muhajirin dan Ansar. Merekalah orang yang paling pertama meneguk hidayah Islam dan merekalah golongan yang mendapat bahagian yang paling terbesar daripada kebaikan yang datang bersama Islam. Tanpa membahaskan khilaf yang berlaku sekitar siapakah yang dipanggil As-Sabiqunal Awwalun di kalangan mufassirin, kita menumpukan satu kesimpulan bahawa mereka sudah tentu dari kalangan yang disebut Muhajirin dan Ansar.

Inilah yang dapat difahamkan dari zahir ayat:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.
(Surah A-Taubah; Ayat 100)

Justeru, generasi terbaik dalam ummat Islam adalah As-Sabiqunal Awwalun. Mereka menjadi generasi terbaik kerana ittiba' mereka terhadap Rasulullah SAW. Lalu, Allah SWT lebarkankan kebaikan tersebut kepada sesiapa sahaja yang mengikut mereka dengan baik. Dengan kata lain, mereka tetap di atas jalan ittiba' Rasulullah sebagaimana generasi As-Sabiqunal Awwalun mengikut Rasulullah SAW.

Memahami kelebihan generasi As-Sabiqunal Awwalun, kita akan menginsafi bahawa tidak ada satu kebaikan yang dibuat melainkan para pendahulu itu telah mencicipinya. Adalah satu yang menyalahi makna Fadhilat As-Sabiqunal Awwalun jika kita mengatakan bahawa kita telah mencicipi kebaikan yang lebih besar daripada apa yang telah dicicipi oleh As-Sabiqunal Awwalun.

Maka, jika kita menyenaraikan aneka macam kebaikan yang kita katakan baik menurut kacamata kita, sedangkan generasi As-Sabiqunal Awwalun tidak berpeluang melakukannya, maka di manalah lebihnya As-Sabiqunal Awwalun? Mereka adalah golongan yang mendahului dalam khairat. Kita adalah orang belakangan. Ikutlah mereka dan khairat yang pernah mereka lakukan sudah cukup lumayan untuk kita nikmati hasilnya di akhirat.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP