CARI KANDUNGAN BLOG

JIBRAIL TURUN DENGAN PERINTAH TUHAN

April 23, 2016

Surah Maryam: Ayat 64

وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ ۖ لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا وَمَا خَلْفَنَا وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ ۚ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

" Kami tidak menurunkan wahyu melainkan dengan perintah Tuahmu. Baginya apa yang ada di dunia ini dan di akhirat kelak serta apa yang ada di antara keduanya.Tuhanmu tidak sekali-kali lupa".

Rasulullah SAW bertanya malaikat Jibrail:

" Apa yang menghalangmu menziarahi kami lebih kerap daripada sekarang?".

Maka turunlah ayat ini menjelaskan. JIbrail bukan turun kepada nabi SAW dengan kehendak dirinya sendiri. Dia hanya menjalankan perintah Tuhan dan dia tidak turun mengikut kemahuannya. Sebagai makhluk Allah yang bernama malaikat, apa yang dilakukannya adalah semata-mata perintah Allah SWT. Tidak ada kehendak sendiri sebagai manusia. Kehendak sendiri itulah yang menjatuhkan manusia ke dalam kancah dosa sedangkan malaikat suci daripada dosa.

Allah menguasai segala-galanya yang ada di dunia ini. Kemudian, di hari akhirat, semuanya kembali kepada Alllah. Dialah pemilik dan raja yang berkuasa penuh pada hari itu. Malah sebelum menjelang hari akhirat, ada kehidupan Barzakh, Dialah juga yang menguasainya. Maka, ke mana manusia boleh lari dari kawalan Allah SWT. 

Apabila wahyu lambat turun kepada nabi SAW, ia bukan kerana Allah terleka dan lupa sehingga terlambat. Bukan. Allah bukan bersifat seperti itu. Mahasuci Allah daripada lupa. Kelambatan tersebut adalah kerana Allah ada hikmah yang tertentu yang Dia terlebih mengetahui.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP