AMBIL ILMU ORANG TELAH MATI
February 15, 2019
Ibn Arabi tuan punya kitab "Al-Futuhat" dan "Al-Fusus" menyebutkan dalam kitabnya itu perkataan yang diasandarkan kepada Abu yazid Al-Bistami sebagai pengucapnya:
أخذتم علمكم ميتا عن ميت، وأخذنا علمنا عن الحي الذي لا يموت، حدثني قلبي
عن ربي، وأنتم تقولون: حدثنا فلان، وأين هو؟ قالوا:مات، عن فلان وأين هو؟
قالوا: مات
Kamu mengambil ilmu daripada orang mati yang menerima daripada orang yang telah mati. Sedangkan kami ( Sufi) mengambil ilmu daripada yang Maha Hidup dan tidak pernah mati. Hatikulah yang menceritakan sesuatu daripada Tuhanku. Kamu pula berkata : Telah menceritakan kepadaku si fulan...di mana sifulan itu? Kata kamu: dia telah mati! Kamu menyebutkan dari si fulan ...di mana si fulan itu? dia telah mati!
Maka sufi seperti ini meremehkan sanad yang menjadi amalan para muhaddisin dan ulama Syariat. Ilmu dengan cara sanad adalah ilmu orang-orang mati. Ilmu yang orang sufi dapat tidak mengikut jalur orang mati sebab ia datang langsung daripada Allah ke dalam hatinya sebagai ilham rabbani atau ladunni.
Namun, ada satu yang pelik. Dalam keadaan orang-orang sufi tidak menghargai sanad para ahli syariat, mereka membuat sanad dan sislsilah mereka sendiri. Satu amalan zikir yang mereka amalkan, mereka sandarkan kepada satu sanad yang bersambung daripada guru ke guru, syeikh ke syeikh sehingga sampai kepada Junaid Al-Baghdadi. Dari Junaid bersambung kepada Sirri As-Suqti, kemudian kepada ma'ruf Al-karkhi kemudian kepada Daud At-Tho-i, kemudian Habib Al-'Ajmi, kemudian kepada Hasan Al-basri dan kemudian sampai kepada Ali bin Abi Tolib. Ali tentunya ambil daripada Rasulullah SAW.
Dalam keadaan tidak menghargai ilmu bersanad yang menjadi syiar para ahli hadis, mereka pun meniru amalan bersanad daripada orang-orang yang telah mati itu.
Cuba berfikir tentang sikap double standard ini.
Catatan Penting: Apakah benar Abu Yazid mengucapkan demikian atau hanya omongan Ibn Arabi? Abu Yazid terkenal soleh dan dipuji termasuk oleh Imam Az-Zahabi dalam Siyar A'lam. Kita lihat, tokoh-tokoh yang dipuji ahli hadis, diangkat-angkat oleh kalangan Sufi dengan petikan kata-kata yang tidak akan diterima oleh ulama Syariat.
Ada contoh lain. Ibn Arabi juga menaqalkan kata-kata yang dinisbahkan kepada Junaid Al-Baghdadi:
أحب للمبتذئ أن لا يشغل قلبه بهذه الثلاث، وإلا تغيرت حاله: التكسب، وطلب
الحديث، والتزوج، وأحب للصوفي أن لا يقرأ ولا يكتب لأنه أجمع لهمه
" Aku suka kalau para mubtadi tidak menyibukkan hatinya dengan tiga perkara, jika tidak akan berubahlah keadaannya daripada jalan kesufian: Bekerja, belajar hadis dna berkahwin. Aku suka kalau seorang Sufi itu tidak membaca dan menulis kerana ia menghimpunkan kerisauannya".
Kalau benar ini kata-kata Junaid, alangkah teruknya nasihat dan harapan sedemikian. Ketiga-tiga harapan tersebut menyanggahi saranan nabi. Bahkan nabi marah kalau siapa yang tidak mahu berkahwin dengan menegaskan dalam hadis :"siapa yang tidak suka sunnahku, dia bukan dari kalanganku!.
Ayat pertama diturunkan suruh kita membaca. Junaid pula larang orang daripada membaca. Allah sendiri menunjukkan contoh , menulis takdir manusia di Luh Mahfuz, sedangkan Junaid melarang orang menulis. Apa akan jadi kepada orang Islam kalau nasihat sebegini diambil dan diamalkan? Jadilah orang Islam kaum bodoh yang tercorot dalam perlumbaan ilmu.
Orang kafir rajin membaca, banyak menulis, beranak pinak dan menambahkan rakyat dan bangsa. Kita? Kerana mahu jadi mubtadi yang sejati, tinggalkan semua itu. Kalau itu jalan terbaik, semua orang patut buat. Bukan khusus untuk orang mubtadi dalam kesufian sahaja. Yang baik kita kena galakkan. Tapi, itu bukan jalan yang baik bahkan merosakkan . Ia menjahanamkan ummat.
Cuma persoalan yang timbul, Benarkan Junaid yang dimuliakan ulama sunnah itu mengucapkan kata-kata sedemikian? Di sini kita perlu mengambil jalan tabayyun. Jika pada akhirnya benarlah ucapan itu dari mulut mereka, maka hendaklah kita jelas dalam satu sikap. Kita tidak memaksumkan sesiapapun selain Rasul.
Manusia manapun kecuali nabi dan Rasul yang dibimbing wahyu, akan berbuat silap. Yang silap yang dituruti. Doakan yang terbaik kepada pengucapnya yang kita berada dalam timbang tara antara kesolehan dan penyimpangan.
Dalam kitab Tarikh Al-Islam (22/73) disebutkan mengenai perkataan Junaid Al-Baghdadi:
علمُنا مضبوطٌ بالكتاب والسنة ، من لم يحفظ الكتاب ،
ويكتب الحديث ، ولم يتفقّه ، لا يُقْتَدى به
"Ilmu kami diikat dengan Quran dan Sunnah. Sesiapa yang tidak menjaga Quran dan mencatat Sunnah serta tidak belajar Feqah, jangan menjadikan aku sebagai contoh ikutannya".
0 comments:
Post a Comment