Bermimpi Rasulullah
March 20, 2011
Bermimpi melihat Rasulullah SAW? Pernah satu orang mendakwa dia bermimpi melihat Rasulullah SAW, katanya Rasulullah SAW itu tidak berjanggut. Padahal ijmak ulamak ummat ini bahawa dari segi fizikal, Rasulullah SAW adalah seorang yang menyimpan janggut. Pernah pula seseorang mendakwa bahawa Rasulullah SAW dilihat dalam mimpinya berkulit hitam seperti kulit lelaki Habsyah. Kebetulan yang bermimpi itu adalah seorang syeikh tariqat dari sebuah negara Afrika. Ini bertentangan dengan nas Hadis Saheh dan fakta sirah yang menggambarkan nabi SAW itu berbangsa Arab Quraisy dan kulitnya putih kemerahan.
Justeru, atas dasar apa dikatakan yang hadir dalam mimpi itu adalah Rasulullah?Maka dakwa yang bermimpi itu bahawa yang datang dalam mimpi itu mengaku sebagai Rasulullah.
Rasullah bersabda dalam sebuah hadis:
من رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتمثل في صورتي
"Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya Syaitan tidak boleh menyerupaiku".
(Hadis Muttafaq 'alaih)
Hadis ini menjelaskan kepada kita beberapa perkara yang boleh difahami:
a) Mimpi melihat Rasulullah SAW adalah benar.
b) Syaitan tidak boleh menjelma dalam rupa Rasulullah SAW.
c) Syaitan boleh menjelma rupa sesiapa sahaja yang lain selain Rasulullah SAW,
d) Syaitan boleh menjelma rupa seseorang yang lain dan mendakwa dia adalah Rasulullah.
Sebab itu, dakwaan melihat Rasulullah SAW itu tidak boleh dipercayai dengan semberono. Orang yang mendakwa itu hendaklah daripada kalangan orang yang boleh dipercayai dan sentiasa berada di atas landasan syariat Allah SWT. Sekadar melihat Rasulullah bukanlah menunjukkan hebat seseorang kerana ramai juga mereka yang kufur dan engkar pada zaman nabi melihat Rasulullah SAW. Abu Jahal, Abu Lahab, Umayyah bin Khalaf dan Abdullah bin Ubai adalah antara kalangan mereka yang melihat Rasulullah SAW sedangkan mereka adalah kafir dan mati dengan kekufuran mereka.
0 comments:
Post a Comment