CARI KANDUNGAN BLOG

Ibn Al-Rawandi Sang Mulhid

March 25, 2020

Namanya Abu Hasan Ahmad bin Yahya bin Ishak Al-Rawandi, lahir di Rawand iaitu satu tempat di antara Asfahan dan Kashan pada tahun 210 H . Beliau dikatakan berketurunan Yahudi.

Pendidikan awalnya di bandar Rayy. Tiada catatan jelas tentang siapa gurunya. Namun, ketika dia di bandar Rayy, dia berada di jalan Islam yang lurus. Ini dapat dikenal daripada hasil dua karyanya pada masa itu iaitu: Al-Ibtida' wal I'adah dan Al-Asma' Wal Ahkam.
 
Dia bertukar-tukar aliran. Pada mulanya beliau merupakan salah seorang tokoh ulama Muktazilah. Namun , kemudian dia mencemuh muktazilah dan mengarang sebuah kitab bertajuk "Fadhihatul Muktazilah" untuk tujuan itu. Kitab itu adalah jawapan balas kepada kitab karya Jahiz yang bertajuk "Fadhilah Muktazilah". Beliau kemudiannya menganut fahaman Syiah dan mengarang sebuah kitab bertajuk "Al-Imamah". Kemudian, pertemuannya dengan Abu Isa Al-Warraq, seorang mulhid mengubah sudut pandangannya. Beliau menjadi seorang freethinker dan zindik yang tercatat namanya dalam sejarah Islam dengan sifat tersebut.

Ketika dia berpindah dan berdomisil di kota Baghdad yang ketika itu merupakan pusat pemerintahan, kota pemikiran dan kebudayaan, jalan hidupnya pun berubah.

Dalam setiap fasa kehidupannya itu, dia banyak mengarang kitab. Namun kitab-kitab karyanya telah luput  dan yang masih ada hanya dua sahaja iaitu "Al-Ibtida' wal I'adah" dan " kitab Al-Farandi". Kitab rulisannya itu dapat diketahui kebanyakan berdasarkan kitab lain yang dikarang oleh tokoh-tokoh yang membuat kritikan balas atasnya seperti kitab Al-Intisor karya Al-Khayyat yang merupakan radd kepada kitab "Fadhihah Al-Muktazilah". Dengan cara demikianlah kitab yang telah luput dalam peredaran zaman diketahui wujudnya. Kitab Az-Zamrud karya Ibn  Ar-Rawandi telah hilang. Dalamnya penuh dengan perlecehan terhadap  rukun Islam dan kenabian. Ini diketahui kerana petikannya disebutkan dan dikeritik dalam kitab Al-Majalis Al-Muaydiyyah oleh Ismail Al-Muaydi.

Barangkali, sebahagian kitab yang dihumbankan ke dalam sungai Dajlah semasa penyerbuan tentera Mongol itu adalah kitab-kita yang penuh racun dan kekufuran seperti karya Ibn Ar-Rawandi ini. Itulah cara Allah menghapuskannya dan menyelamatkan iman ummat.

Ibn Al-Jauzi berkata: Tokoh Zindiq dalam Islam itu ada tiga iaitu:
  1. Ibn Al-Rawandi
  2. Abu Hayyan Al-Tauhidi
  3. Abu Al-A'laa Al-Mi'rii 
Ibn Taimiyyah mengatakan beliau seorang Zindiq. Imam Az-Zahabi dalam Siyar menyifatkannya sebagai Mulhid.

Sumber sejarah menyebutkan bahawa Ibn Al-Rawandi mati sekitar tahun 250H . Berdasarkan catatan ini, usianya ketika mati adalah sekitar 40 tahun. Dia mati dalam keadaan terbuang dan bersembunyi dalam kalangan orang-orang Yahudi di saat Islam berkembang menguasai alam.

Imam Az-Zahabi setelah menyebutkan turjumah Ibn Al-Rawandi dalam Siyarr menamatkannya dengan satu ayat:

لعن اللهُ الذكاءَ بلا إيمانٍ ورضيَ اللهُ عن البلادةِ مع التقوى 
 
"Allah melaknat orang cerdik yang tiada keimanan dan Dia Redha orang bodoh yang bertakwa".

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP