CARI KANDUNGAN BLOG

YAZID BIN MUHALLAB

March 24, 2020

YAZID BIN MUHALLAB BIN ABI SAFRAH (35H-102H)

Setelah bapanya mati pada tahun 83H, beliau menggantikan posisi bapanya sebagai gabenor Khurasan. 6 Tahun kemudian, dia dipecat oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan atas usul daripada Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi yang merupakan gabenor Iraq dewasa itu. Walaupun sudah dipecat, Hajjaj bimbangkan penentangannya, maka Hajjaj telah memenjarakannya.

Yazid bin Muhallab berjaya lari daripada penjara Hajjaj dan beliau pergi ke Syam dan bertemu dengan Sulaiman bin Abdul Malik. Setelah matinya Hajjaj, dia dilantik sebagai gabenor Iraq dan kemudiannya kembali ke posisi sebagai gabenor Khurasan. Dalam tempoh ini beliau telah berjaya membuka Wilayah Jarjan dan Tibristan.

Kemudian beliau dipindahkan ke Basrah sebagai gabenor di sana sehinggalah kekhalifahan berpindah ke tangan Umar bin Abdul Aziz. Kerana ada aduan wewenangnya membelanjakan harta rakyat, beliau dipecat oleh Umar Abdul Aziz dan diarahkan datang ke Syam. Di sana dia dipenjarakan di Halb menunggu perbicaraan. Dalam tempoh itu, Umar Abdul Azizi jatuh sakit hendak mati. Sebelum matinya Umar Abd Aziz, dia telah lari kerana bimbang keselamatan dirinya terhadap Yazid bin Abd Malik yang merupakan bakal pengganti Umar Abd Aziz.

Belia mengutuskan surat kepada Umar Abd Aziz menyatakan alasannya lari dari tahanan. Umar Abd Aziz berdoa:

اللهم إن كان يريد بهذه الأمة شرًا فاكفهم شره واردد كيده في نحره

"Ya Allah, jika dia mahu menimbulkan kejahatan buat ummat ini, maka peliharalah ummat ini daripada kejahatannya. Kembalikan kejahatan itu ke batang lehernya".


kata orang, doa Umar Abd Aziz telah mengenai Yazid bin Muhallab. Itulah maka Yazid menemui kesudahan yang tragis kemudiannya. Wallahu A'lam!


Umar Abd Aziz meninggal tahun 101H.

Yazid bin Muhallab telah balik ke Basrah dan menuntut kepada Adi bin Artoah agar membebaskan kaum keluarganya daripada tahanan. Adi bin Arto'ah ketika itu adalah Gabenor Basrah.

 إنّك حبست أخوتي وأهل بيتي بلا ذنب ، وأنا المطلوب ، فأخرجهم من حبسهم ، وأعاهدك الله بأنّي لا أدخل البصرة حتّى يأذن لي يزيد بن عبد الملك

Adi bin Artoah enggan memenuhi tuntutan Yazid bin Muhallab. 'Adi bin Artoah, dalam keadaan genting itu, telah berkata para penyokongnya:

 سوف أعطيكم الأرزاق من مالي الخاصّ ، وبعد الانتهاء من حرب ابن المهلّب سوف أكتب إلى أمير المؤمنين ، وسوف تحصلون على ما تحبّون


Setelah dibahagi-bahagikan harta miliknya, setiap orang hanya mendapat dua dirham.

Menanggapi apa yang telah dibuat oleh Adi bin Artoah ini, Farazdak melontarkan sebuah Syair:

 أظنّ رجال الدرهمين يقودهم / إلى الموت آجال لهم ومصارع
وأكسيهم من قرّ في قعر بيته / وأيقن أنّ الموت لابد واقع

Lalu berlakulah peperangan yang membawa kepada tewasnya Adi bin Arto'ah. Oleh Ibn Muhallab, dia dipenjarakan dan disiksa sebagaimana dulunya keluarga Muhallab disiksa.Selepas itu dibunuhlah Adi bin Artoah.

Yazid bin Abd Malik pun mengirimkan tentera 80 ribu orang dipimpin oleh saudaranya Maslamah bin Abd Malik dan anak saudaranya iaitu Abbas bin Walid bin Abd Malik. Untuk melawannya, Yazid bin Muhallab mempunyai tentera lebih 100 ribu anggota. Tetapi, manakan sama tentera Iraq berbanding tentera Syam.

Tentera Iraq tidak setia dengan tuannya sedangkan tentera Syam setia dengan tuannya.

Beliau serahkan Basrah untuk anaknya Muawiyah bin Yazid sementara dia dengan saudaranya Abd Malik bin Muhallab memimpin pasukan menuju ke Al-Aqir.

Hasan Al-Basri membantah tindakan Yazid tersebut dan beliau melarang orang-orang Basrah daripada menyertai gerakan Yazid.

Peperangan ini telah menjadi Nakbah buat keluarga Muhallab. Mereka dibunuh dan dihancurkan. Kekalahan dalam peperagan ini menyebabkan runtuhnya satu keluarga termulia dalam kerajaan Bani Umayyah. Mereka tidak pernah beraksi lagi sehinggalah kemunculan keluarga Abbassi yang akhirnya dapat menumbangkan keluarga Umawi. Dalam peristiwa gerakan Abbasi ini, keluarga Muhallab dikatakan menyokong Abbasi kerana mengingatkan apa yang telah menimpa mereka daripada kejahatan tangan Bani Umawi.


Perjalanan Yazid bin Muhallab penuh dengan penganiayaan dan perlawanan. Selama 30 tahun dia berperang mempertahankan diri dan maruahnya serta keluarganya. Keluarganya yang berjasa besar kepada kerajaan telah dihina dan dianiaya. .

Hinggalah dia mati di Aqir satu tempat antara Wasit dan Baghdad.

Farzazdaq mengungkapkan bait Syair memuji Yazid bin Muhallab. Katanya:

وإذا الرجال رأوا يزيد رأيتهم
خضع الرقاب نواكس الأبصار
 



Kalau dalam pemerintahan Bani Abbasiah ada kisah keluarga Barmaki yang dihukum bunuh, maka kisah sedemikian juga telah terjadi sebelumnya dalam pemerintahan Bani Umayyah. Itulah kisah Keluarga Muahallab. (Rujuk Ibn Khalikan)

وأجمع علماء التاريخ على أنه لم يكن في دولة بني أمية أكرم من بني المهلب، كما لم يكن في دولة بني العباس أكرم من البرامكة، ..، وكان لهم في الشجاعة أيضًا مواقف مشهورة



Beberapa cerita lain berkaitan Yazid bin Muhallab:


Yazid bin Muhallab adalah seorang yang sukakan pujian. Dia pernah kata:
Kehidupan itu lebih kusukai berbanding kematian
Tetapi puji-pujian itu lebih kusukai berbanding kehidupan!

Cerita Yazid bin Muhallab adalah cerita berkenaan seorang yang dermawan.  Di smaping cerita kehidupan politiknya yang bangkit memberontak melawan kerajaan Bani Umayyah.

Sungguhpun Hajjaj bin Yusuf  menikahi saudara perempuan Yazid bin Muhallab iaitu Hindun binti Muhallab, Hajjaj menangkap dan memenjarakannya. Kerana politik hubungan ipar pun tiada makna!



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP