CARI KANDUNGAN BLOG

KENAPA IBN SIRIN DIPENJARA?

March 26, 2020

Namanya adalah Abu Bakar Muhammad bin Sirin Al-Basri.

Beliau lahir pada masa pemerintahan khalifah Uthman bin Affan. Ayahnya Sirin adalah hamba yang dimiliki oleh Anas bin Malik. Anas mendapatnya sebagai hamba setelah peperangan Ain Tamar iaitu negeri sebelah barat Kufah yang telah dibuka oleh Khalid Al-walid pada masa Khalifah Abu Bakar. Anas kemudiannya telah memerdekakan Sirin.

Fizikal Ibn Sirin: Seorang yang agak pendek, perutnya gendut., banyak berjenaka dan suka ketawa, alim dalam ilmu hisab dan Faraid dan undang-undang, berambut lebat, belah tengah dan mewarnakannya dengan inai.

Ibn Sirin menuntut ilmu daripada ramai sahabat. Menurut Hisyam bin Hasan, Ibn Sirin berguru dengan lebih 30 sahabat.

Ibn Sirin juga terkenal dengan ilmu menta'bir mimpi sehingga ada sebuah kitab yang dikaitkan dengannya iaitu Kitab Tafsirul Ahlam.

Di antara riwayat mengenai keunggulannya dalam menta'bir mimpi adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Az-Zahabi :

عن عبد الله بن مسلم المزوي قال: كنت أجالس ابن سيرين فتركته وجالست بعض أهل البدع؛ فرأيت كأني مع قوم يحملون جنازة النبي صلى الله عليه وسلم فأتيت ابن سيرين فذكرته له، فقال: مالك جالست أقوامًا يريدون أن يدفنوا ما جاء به النبي صلى الله عليه وسلم


Sebab Ibn Sirin dipenjara

Ibn Sirin telah membeli minyak Zaitun dengan harga 40 ribu Dirham dengan bayaran tertangguh (hutang) kepada tauke minyak zaitun. Lalu didapati dalam salah satu bekasnya ada tikus mati. Maka disangkanya tikus itu telah mati dalam bekas alat pemerosesan minyak. Dia bimbang jika minyak itu dikembalikan kepada tauke minyak zaitun itu, dia akan menjual kepada orang lain minyak zaitun yang telah dicemari itu. Maka semua minyak itu dituangnya. Sikap waraknya ini telah membawanya berhutang dan tak mampu menjelaskan hutangnya itu. Tauke minyak zaitun mengadu hal itu kepada hakim lalu Ibn sirin disuruh menjelaskan hutangnya. Kerana tidak mampu membayarnya, dia dipenjarakan.

Dalam Tarikh Baghdad (jil5 ms 334) disebutkan:
 Apabila Ibn Sirin dipenjara, warden penjara berkata kepadanya: Malam hari tuan pulanglah kepada keluarga tuan dan siang hari tuan datanglah semula. Ibn Sirin menjawab: Demi Allah, aku tidak akan menolongmu mengkhianati Sultan!


Ketika Anas bin Malik hendak wafat, dia berwasiat agar Ibn Sirin menguruskan jenazahnya, tetapi pada ketika itu Ibn Sirin sedang dalam penjara. Orang ramai pun minta kepada Amir Basrah agar dibenarkan dia keluar sesuai dengan wasiat Anas bin Malik. Akan tetapi Ibn Sirin mahu kebenaran keluar itu datang daripada pihak yang dia berhutang itu, lalu dia dibenarkan dan dia pun keluar untuk menguruskan jenazah Anas bin Malik


Ibn Sirin meninggal pada tahun 110H, iaitu sekitar 100 hari selepas kematian Hasan Al-Basri. Umurnya waktu itu adalah lebih 80 tahun

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP