CARI KANDUNGAN BLOG

Tazkirah Taraweh-Menghidupkan Malam Ramadhan

June 13, 2016

13 Jun 2016 (7 Ramadhan 1473)

Masjid Nurus Saadah.
(18 Minit)

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

" Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh iman dan memburu pahala daripada Allah, diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas".(Muttafaq alaih)

Mendirikan Ramadhan adalah bermaksud solat taraweh. Ini dinyatakan lebih lanjut dalam sebuah hadis yang lain iaitu:

من قام مع الإمام حتى ينصرف كُتب له قيام ليلة

Sesiapa yang mendirikan taraweh bersama imam sehingga selesai, dituliskan baginya pahala qiamullail sepanjang malam. (Hadis riwayat An-Nasai, Abu Daud dan At-Tirmizi dan dinyatakan Saheh oleh Albani)

Dalam hadis mengenai solat bersama imam hingga selesai itu, asbabul wurudnya merujuk kepada pengalaman sahabat solat taraweh di zaman nabi SAW. Ada sahabat yang bertanya mengenai bolehkah kalau mereka mahu solat nafilah lagi sesudah solat taraweh yang mereka lakukan bersama nabi SAW itu. Maka nabi pun menuturkan sabdanya tersebut.

Ramai yang solat taraweh tidak dapat ganjaran qiamullail sepanjang malam kerana tidak menghabiskannya bersama imam. Adakalanya kerana imam buat 20 rakaat sedangkan ramai makmum hanya buat 8 rakaat. Bahkan yang buat 20 bersama imam pun meninggalkan witir bersama imam, "Bersurai"nya imam dalam hadis membawa maksud sehingga witir. Maka meninggalkan witir juga dikira sebagai tidak "insiraf" bersama imam.

Oleh kerana itu, saya suka kalau masjid buat 8 rakaat dengan tazkirah. Ini memberi peluang ramai orang mendapat pahala Qiamullail sepanjang malam berdasarkan hadis. Kita dianggap orang berihsan jika memberikan ruang kepada seramai mungkin ornag mendapat rahmat Allah. Dalam kondisi kecenderungan orang bertaraweh hari ini yang hanya mahu buat 8 rakaat , maka adalah baik jika masjid -masjid bersikap anjal demi mencakupkan lebih ramai orang dalam keberhasilan pahala qiamullail sepanjang malam. Buat 8 dan tambahkan dengan witir menjadikannya 11 rakaat. Ia juga tsabit dalam sunnah sebagaimana disebutkan sebuah hadis riwayat A'ishah mengenai solat malam nabi SAW.

Seterusnya, jika tidak dapat juga pahala qiamullail sepanjang malam melalui solat taraweh bersama imam kerana faktor imam buat 20 sedangkan makmun hanya sekadar 11 rakaat, atau meninggalkan witir bersama imam, maka ada peluang lain untuk meraihnya. Dalam hadis riwayat Muslim, dinyatakan:

عن عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

" Daripada Uthman bin Affan katanya, aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang solat Insya berjemaah, maka seolah-olah dia qiamullail separuh malam, dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-oleh dia solat sepanjang malam".

Maka rahmat Allah itu luas. Pintu kebaikan bukan satu. Jika terlepas satu, ada pintu lain menanti. Beruntungnya jadi ummat Muhammad SAW. Kelebihan seperti ini tidak ada pada ummat yang terdahulu.

Apa yang penting, hendaklah kita beramal mengikut petunjuk nabi SAW. Jangan beramal ikat kemahuan "puas hati" sendiri. Ikut petunjuk nabi, amal sedikit ganjarannya lumayan.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP