CARI KANDUNGAN BLOG

TAHU SEMUA JANGAN BERITAHU SEMUA.

June 29, 2015

 
 ليس كل ما يُعلم مما هو حق يطلب نشره
" Bukanlah semua yang diketahui itu perlu disebarkan".

Perkataan di atas diambil daripada Imam As-Syatibi. Perkataan ini adalah bersandarkan apa yang dinyatakan dalam banyak hadis yang membawa mesej menahan diri dari ghairah menyebarkan apa yang diketahui.

Abu Hurairah pernah berkata:

حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وِعَاءَيْنِ ، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَبَثَثْتُهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَلَوْ بَثَثْتُهُ قُطِعَ هَذَا الْبُلْعُومُ
" Aku telah hafaz dari Rasulullah SAW dua bejana hadis. Salah satunya aku sebarkan dan yang satu lagi kalau aku sebarkan sudah tentu dipotonglah leherku ini". ( H.R Bukhari, No 120)

Para ulama Hadis menyatakan bahawa hadis yang disembunyikan oleh Abu Hurairah itu adalah yang berkaitan dengan fitnah yang akan terjadi dan siapa yang menjadi puncanya. Abu Hurairah dikatakan telah berdoa agar beliau tidak dihidupkan Allah melewati tahun 60 H dan merasai pemerintahan kanak-kanak. Pada tahun 60 H, kewafatan Saidina Mu'awiyah telah diikuti dengan perlantikan Yazid anaknya sebagai khalifah seterusnya. Itulah bermulanya zaman fitnah yang mana penguasa zalim mula menindas rakyat. Doa Abu Hurairah telah dimakbulkan Allah dan beliau wafat pada tahun 57 H atau 59 H menurut satu riwayat yang lain. Sudah tentu jika Abu Hurairah menceritakan apa yang dia dengar daripada Rasulullah mengenai kepala-kepala jabbar tersebut, dia akan mendapat musibah sampai terbunuh. Demikianlah apa yang difahami oleh para ulama Hadis mengenai penyembunyian hadis oleh Abu Hurairah.

Namun, ada dakwaan di kalangan sebahagian ahli sufi bahawa yang disembunyikan oleh Abu Hurairah tersebut adalah ilmu hakikat yang menjadi identiti mereka termasuklah Wehdatul Wujud yang menjadi satu maqam di antara maqam dalam falsafah martabat tujuh. Dakwaan ini tidak berasas kerana jika benar, sudah tentu Abu Hurairah akan dedahkan untuk segelintir tertentu dan tidaklah sampai membawa kepada fitnah dibunuh.

Pada satu ketika Rasulullah SAW telah bersabda kepada Muaz bin Jabal:


ما من عبد يشهد أن لا إله إلا الله ، وأن محمداً عبده ورسوله صدقا من قلبه إلا حرمه الله على النار

" Tidak ada seorang hamba yang bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan mengakui bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulNya dengan benar-benar daripada hatinya, melainkan Allah akan haramkan neraka untuknya".

Muaz bin Jabal berkata: bolehkan aku khabarkan kepada manusia supaya mereka gembira?

Kata Rasulullah SAW: Jika begitu mereka akan bermudah-mudah ( Tidak mahu beramal)

Muaz bin Jabal hanya mengkhabarkan hadis ini bila dia sudah hampir meninggal kerana takut dosa menyembunyikan hadis. 
(Hadis Muttafaq Alaih)

Kerana itu, seorang alim jangan beritahu semua apa yang dia tahu. Lihat kepad asiapa yang dia mahu sampaikan ilmunya. Lihat juga pada keadaan dan situasi.

Seorang murid sekolah rendah jangan diberitahu ilmu-ilmu yang diajar di peringkat universiti. Orang kampung jangan diceritakan ilmu khilafiah yang perdebatan hangat para sarjana. Jika salah menyampaikan ilmu, kebaikan tidak akan datang sebaliknya yang datang adalah fitnah dan sengketa. sebahagian ilmu adalah untuk amalan diri sendiri dan sebahagiannya wajar disebarkan.

Wallahu a'lam!

Read more...

Kembali Ke Meja Rundingan.

June 27, 2015

Menulis oleh Ibn Qayyim dalam Zadul Ma'ad (3/304):

يجوز ابتداء الإمام بطلب صلح العدو إذا رأى المصلحة للمسلمين فيه ، ولا يتوقف ذلك على أن يكون ابتداء الطلب منهم


" Harus pemimpin Islam mengusulkan perdamaian dengan musuh apabila beliau melihat pada perdamaian itu ada kemaslahatan buat kaum kaum Muslimin. Memulakan usul damai tidak semestinya dari pihak musuh sahaja".

Kalangan pemimpin Islam kekadang dibayangi keegoan dengan sangkaan menjaga izzah Islam, lalu enggan mengalah kepada musuh. Dia beranggapan bahawa meminta perdamaian dengan musuh itu akan menjatuhkan darjat Islam padahal perdamaian itu baik untuk kaum muslimin. Pada saat dilihat perdamaian itu baik, maka keegoan perlu disingkirkan. Mulakan usaha untuk kembali berdamai dalam ertikata bertahalluf. Jika ini gagal dilakukan, maka mudarat besar menanti kaum muslimin lebih besar daripada mudarat menghilangkan izzah islam yang didakwakan.

Nabi SAW telah menyebutkan dalam sebuah hadis peristiwa akhir zaman (yang diriwayatkan oleh Abu Daud) :

سَتُصَالِحُونَ الرُّومَ صُلْحًا آمِنًا

" Nanti kamu akan minta damai dengan Rom (pent-Kuasa Barat) melalui satu perjanjian damai yang memberikan keamanan".

Dalam hadis ini, dinyatakan bahawa pada akhir zaman, ketika berlaku siri-siri peperangan, ummat Islam akan mencari dokongan daripada kaum kafir dengan mengajar berdamai. Ajakan tersebut datang daripada pihak Islam dahulu dan bukan dari pihak kafir. Ini membuktikan bahawa tidak menjadi kesalahan kalau pemimpin Islam memulakan inisiatif damai sekalipun keegoan mentafsirkannya sebagai menjatuhkan izzah Islam.

Read more...

Berta'amul dengan Nas: Hujjatun 'alaina wala lana

Kerap kali, bila kita bacakan Quran dan Hadis, kita bacakan ke atas orang lain, bukan ke atas diri sendiri. Dengan kata lain, sepatutnya Al-Quran itu hujjah ke atas kita dan bukan hujjah buat kita, tidak dipraktiskan. Inilah kesilapan yang membaluti kita sedangkan kita tidak sedar.

Bila kita baca Hadis dan ayat Al-Quran yang cerita tentang keutamaan menyertai Jamaah Islam, maka kita pun kata Jamaah kitalah yang dimaksudkan itu. Bila kita baca pula Hadis atau Ayat Quran memberi amaran tentang keciciran dalam perjuangan Islam, kita pun anggap merekalah yang telah tercicir dan kita pula orang istiqamah.


Bila kita baca tentang firqah najiah, kita kata kitalah kelompok itu.
Bila kita baca tentang orang yang celaka dan binasa, kita kata mereka sebelah sanalah yang celaka dan binasa.

Allah larang daripada mencintai dunia dan karam di dalamnya. Kita pun kata "geng" sebelah sana memang cinta dunia dan karam di dalamnya. Mereka menguasai projek dan mahligai dalam negara. Mereka naik kereta mewah dan dapat pendapatan besar.

Kemudian, jika kita mendapat peluang seperti mereka untuk merangkul dunia, kita kata pulak apa yang kita dapat itu adalah nikmat Allah untuk menguji kita bersyukur atau tidak. Rumah kita yang besar adalah masjid untuk lestarkani perjuangan. Kereta mewah kita pula adalah kuda yang diribat untuk fi Sabilillah.

Inilah bentuk sikap membacakan sabda dan Firman untuk orang lain dan dibacakan pula demi diri sendiri. Perbuatan seperti ini tentulah dibenci oleh Allah. Para salafus soleh terdahulu, bila mereka baca ayat amaran, mereka rasakan bahawa Allah sedang beri amaran kepada mereka, miski ayat itu menceritakan perihal ummat terdahulu atau musuh-musuh Islam semasa.

Marilah kita cuba menghayati falsafah ini. Bahawa Al-Quran, kita bacakan ke atas diri. Sebagai hujjah ke atas pundak kita dan bukan hujjah ke atas tengkuk orang lain.

Read more...

DAKHAN


(Merujuk kepada maksud Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-Fitan)

Ini zaman di mana kebaikan ditempeli dengan "dakhan". Apakah itu dakhan?

Perkataan "dakhan" disebutkan dalam hadis riwayat sahabat nabi yang bernama Huzaifah. Pada satu hari beliau telah bertanya Rasulullah SAW tentang peredaran zaman. Rasulullah SAW menyatakan bahawa selepas zaman kebaikan akan datang zaman di mana kejahatan berleluasa. Setelah itu akan datang zaman yang mana kebaikan pula menguasai. Walau bagaimanapun, pada zaman kebaikan menguasai itu, akan wujud "dakhan".

Para ulama, ketika menghuraikan hadis ini menyatakan "dakhan" adalah kekotoran. Ia umpama asap bila kayu api dibakar. Bukan semata-mata api yang bernyala. Bersama api disertai dengan asap jelaga yang menimbulkan bau dan warna yang mencemarkan. Kebaikan yang didakwa itu tidaklah murni. Hati manusia tidak lagi suci seutuhnya.Sebaliknya di dalamnya tersimpan dengki, kerosakan dan perpecahan. Setengah ulama menjelaskan lagi dengan membawa perumpamaan "dakhan" itu adalah warna balau pada haiwan. Putih seakan-akan hitam. Orang kampung yang bela kerbau sebut kerbau balau atau balar.

Setelah berlalunya zaman penuh kebaikan yang ada pada zaman nabi, zaman-zaman yang menyimpan kebaikan sesudahnya akan bertempelan dengan "dakhan". Sebagaimana zaman sebagai satu tempoh masa, punya "dakhan", maka demikianlah orang-orang yang hidup dalam zaman tersebut. Begitu juga jama'ah-jamaah yang menjadi tumpat bernaung orang Islam sepanjang zaman, juga dikulati "dakhan" itu.

Jamaah Pas itu baik, tetapi ada "dakhan". Jamaah Tabligh itu baik, namun juga ada "dakhan". Jama'ah Hizbut Tahrir itui pun baik, tetapi ada "dakhan". Jama'ah Ikhwanul Muslimin adalah baik tapi tetap ada "dakhan". ABIM, JIM, Jamia't Islami, Salafiyyun, An-Nahdhoh, AKP, PKS dan beratus-ratus lagi Jamaah orang-orang Islam (Jama'atul Muslimin) yang dibangunkan untuk perjuangan di seantero dunia, semuanya baik tetapi "dakhan" tetap menalari pada urat nadinya. Ia sudah menjadi sunnatullah untuk yang ada pada zaman sesudah berlalunya zaman kebaikan tulin awal yang dicetuskan oleh Rasulullah SAW.

Setelah berlalunya zaman fitnah yang menyaksikan perselisihan sebahagian para sahabat hingga terjadinya perang Al-Jamal dan Siffin, maka datanglah zaman berikut yang ada kebaikan. Itulah zaman di mana kaum Muslimin kembali bersatu menjadi Jamaah Kaum Muslimin di bawah pemerintahan Dinasti Umaiyyah, Abbasiyyah dan Othmaniyyah. Banyak kebaikan yang terhasil pada zaman-zaman tersebut. Daerah kekuasaan Islam dilebarkan dan dakwah diperluaskan ke rantau dunia yang jauh. Ketamadunan ilmu berkembang pesat. Ummat Islam bangkit menjadi kuasa besar dunia. Namun, sepanjang zaman-zaman tersebut, ada "dakhan". Ada kelompok sesat yang muncul seperti Muktazilah, Jabariah, Rafidhan. Qaramitah, Bathiniyyah dan seumpamanya.

Akan tetapi, dalam dalam setiap "dakhan" itu, tersimpan pula kebaikan. pula. dalam kebaikan itu pula, ada dakhan yang lain. Muktazilah umpamanya, walaupun ia menjadi "dakhan" kepada zaman, ia mempunyai kebaikannya. Berapa ramai tokoh ilmuan Islam yang datang dari kelompok tersebut dan sebahagian mereka namanya mencipta kebanggaan ilmu buat ummat Islam.

Kita sedang berada pada zaman asap jelaga "dakhan" meruap di sana sini. Jangan rasa diri cukup baik. Jangan rasa kelompok sendiri cukup baik. Dalam diri ada "dakhan". Dalam Jema'ah sendiri ada dakhan. Jemaah orang lain pun ada "dakhan". Ulama besar hebat ternama, pun ada "dakhan". Camkan baik-baik hakikat itu. Jika dia ada kesilapan, itu kerana "dakhan"nya telah muncul di permukaan.

Namun, perlawanan antara kebaikan dan kejahatan tetap dipisahkan oleh sempadan yang jelas.

Read more...

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP