CARI KANDUNGAN BLOG

Balasan Allah bukan libasan sang bedal.

February 12, 2015

Ketika orang dizalimi, anda atau sesiapa sahaja, maka didoakan kepada Tuhan agar si penzalim diberi balasan. Menunggu balasan, tak kunjung datang. Si penzalim terus sahaja bermaharaja lela dan mencakar kezalimanan di dada dunia. Lalu timbul pertanyaan, bilakah balasan Allah akan datang menamparnya?

Mangsa akan mengharapkan agar si penzalim yang menzaliminya akan tersungkur dalam hayat dunia. Namun, ada sampai matinya si penzalim, balasan yang diharap tak kunjung tiba. Lantas, mangsa berkata dengan pasrah...

" Balasan menantinya di mahkamah Allah!".

Sedangkan Allah itu maha adil. Adil dalam kehidupan dunia dan terlebih adil lagi dalam kehidupan akhirat. Allah pasti membalas kezaliman para penzalim di dunia. Namun, balasan yang Allah timpakan atasnya tidaklah selamanya seperti yang diharapkan oleh mangsa kezaliman.Allah punya balasan seni yang tidak disedari oleh manusia yang lemah jangkauan fahamnya.

Lihatlah mereka yang sombong dengan kezaliman mereka. Mereka tidak ditimpa masibah yang dapat kita buktikan sebagai balasan Tuhan atas mereka. Sampai mati, mereka masih menyerigai dengan taring-taring berdarah mereka.

Sebenarnya, Allah telah pun menimpakan balasan ke atasnya. Sebesar-besar azab Allah ialah bila Allah mempatrikan hati mereka sehingga mereka tidak ingin bertaubat dengan kembali ke jalan yang di perintah Tuhan. Mereka berterusan membuat fitnah, adu domba dan menindas manusia. Itulah balasan Allah yang sangat dahsyat buat mereka. Mereka tidak menemui jalan kembali. Mereka sesat dan penasaran sehingga ke batasan terakhir yang menghumban mereka keluar dari hayat duniawi. Mereka meluncur jatuh ke alam selepas mati dalam keadaan memikul dosa sebesar-besarnya tanpa sempat bertaubat. Hati mereka dimatikan sehingga tidak punya hasrat untuk membersihkan diri sebelum hayat dunia berakhir.

Itulah balasan Allah dan itulah balasan yang lebih hebat dari apa yang kita impikan. Kita impikan balasan lahiriah sedangkan balasan maknawiah itu lebih berat tanggungannya buat sang penzalim.



Read more...

Gelaran Termulia Untuk Nabi Adalah Hamba Allah.

February 5, 2015

Daurah 04

(Surah Al-Baqarah:Ayat 17-24)

Surau Perumahan Awam Lunas


Dalam Al-Quran, banyak tempat Allah menyatakan nabi Muhammad SAW sebagai hambanya. Panggilan ke atas nabi Muhammad SAW sebagai hamba Allah adalah semulia-mulia panggilan. Sungguh pun begitu, akal fikiran kita tidak merasakan ia satu kemuliaan kerana kita dikaburkan oleh makna perhambaan yang ada di kalangan manusia. Kita merasakan menjadi hamba orang lain adalah satu kehinaan dan kerendahan.

Lalu, pada saat kita mahu memuja nabi dengan pujian agung, kita seru baginda dengan panggilan yang kita rasa hebat seperti sayyidina, habibuna, khairuna, syafi'una, madad dan sebagainya. Kita tidak merasa hebat untuk Rasulullah jika disebut sebagai hamba Allah dan Rasulnya.

Itu adalah masalah fikiran kita yang dikaburkan oleh kehidupan dunia yang melihat kalimah hamba dengan berpincing mata.

Tujuan hidup dalam dunia adalah menjadi hamba Allah. Itulah yang ditegaskan dalam Quran. Maka, semakin menghambakan diri seseorang kepada Allah, semakin mulia dan tinggilah darjatnya. Di antara semua manusia dan sekian banyak para nabi, nabi Muhammadlah paling tinggi kehambaannya kepada Allah. Sewaktu nabi-nabi lain rasa tidak layak untuk membantu warga mahsyar untuk syafa'atul 'uzma, nabi Musa berkata "pergilah dapatkannya daripada Muhammad SAW kerana dia adalah "hamba".

Maka, panggilan hamba Allah untuk nabi Muhammad adalah semulia-mulia panggilan. Kita yang merasakan diri sebagai hamba Allah dan membahasakan diri sebagai hamba Allah, layakkah untuk menjulang gelaran itu? Berasa malulah untuk mengaku hamba Allah kerana gelaran itu sangat mulia. Gelaran itu lebih mulia dari sekalian banyak gelaran yang ada. Sejauh ini, yang berulangkali diiktiraf sebagai hamba Allah hanyalah nabi Muhammad SAW.

Read more...

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP