CARI KANDUNGAN BLOG

Tafsir Bid'ah: Menafsirkan Imam sebagai Jamak kepada Umm (ibu)

June 20, 2024

 Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israk, ayat 71:


يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Tafsir makna Imam dalam ayat adalah Imam dalam hidayah. Maka pada hari akhirat, setiap orang akan diseru sebagai pengikut imam hidayahnya. Mereka adalah para nabi Allah yang menyampaikan hidayah untuk diikuti manusia.

Namun, Zamakhsyari dalam tafsirnya, aL-KASYYAF, menafsirkan Imam itu sebagai ibu-ibu. Ertinya, kelak di akhirat, semua oranmg akan diseru dengan berbinkan ibunya. Alasannya menafsirkan demikian adalah kerana menjaga hak nabi Allah Isa A.S dan menutup keaiban anak zina serta memuliakan Hasan dan Husain yang silsilah mereka bersambung dengan Rasulullah SAW melalui Fatimah.

Menafsirkan Imam sebagai kata jamak kepada Ummu (ibu ) adalah menyalahi tatabahasa Arab. Jamak bagi Ummu adalah Ummat atau Ummahat. Lalu bagaimana dan dengan jalan apa kalimah Imam dihubungkan dengan Ummahat?

Sementara alasan menjaga hak nabi Isa yang lahir tanpa bapa sebenarnya tidak perlu. Justeru, kelahiran tidak berbapa itu merupakan satu kemuliaan buatnya. Kemuliaan Hasan dan Husain juga tidak memerlukan rekaan cerita sedemikian. Di hari akhirat, orang tidak lagi mempedulikan anak zina dan seumpamanya. Setiap orang pada hari itu, ada Sya'nun Yughnih.


Maka, penafsiran ini disifatkan sebagai tafsir yang bid'ah oleh Abdullah Al-Ghumari dalam kitabnya Bid'uttafasir.


Menurut Abdullah Al-Ghumari lagi, apa yang menghairankannya, bagaimana Al-Baidhawi yang merengkaskan tafsir Zamakhsyari itu boleh mengangkat penafsiran tersebut dalam kitab mulkhisnya. 


Qiraat Al-Hasan Al-Basri yang membacakan " bi kitabihim" bukan "bi Imamihim" , walaupun  syaz dan riwayat Ahad , menjadi dalil bahawa erti Imam dalam ayat bukanlah ibu tetapi ia membawa maksud kepala kepada millah atau hidayah. Lagi pula , apalah ertinya diseru seseorang berbinkan ibunya sedangkan konteks ayat adalah mengenai kejayaan ahlul haq dan kerugian ahlu batil.

Rujuk : Bid'uttafasir, Abdullah Al-Ghumari, ms78-79

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya, ketika menafsirkan ayat 71 Sureah Al-Israk tersebut menukilkan komentarnya mengenai pandangan yang menafsirkan Imam itu kepada ibu-ibu. Katanya, padangan tersebut adalah kritikan kerana ada hadis saheh dalam Bukhari dna Muslim di mana Rasulullah SAW bersabda:

 إذا جمع اللهُ الأولينَ والآخرينَ يومَ القيامةِ رُفِعَ لكلِّ غادرٍ لِواءٌ يومَ القيامةِ فقيل : هذهِ غَدرةُ فلانِ بنِ فلانٍ

Kata Beliau, kalimah Fulan bin Fulan dalam hadis menjadi dalil bahawa seornag anak dibinkan kepada ayahnya dan bukan ibunya.



HARGA MINYAK DUNIA

WTI Minyak mentah
$67.94 ▲0.10   0.15%
2025.03.31 end-of-day

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP