CARI KANDUNGAN BLOG

Gelaran Termulia Untuk Nabi Adalah Hamba Allah.

February 5, 2015

Daurah 04

(Surah Al-Baqarah:Ayat 17-24)

Surau Perumahan Awam Lunas


Dalam Al-Quran, banyak tempat Allah menyatakan nabi Muhammad SAW sebagai hambanya. Panggilan ke atas nabi Muhammad SAW sebagai hamba Allah adalah semulia-mulia panggilan. Sungguh pun begitu, akal fikiran kita tidak merasakan ia satu kemuliaan kerana kita dikaburkan oleh makna perhambaan yang ada di kalangan manusia. Kita merasakan menjadi hamba orang lain adalah satu kehinaan dan kerendahan.

Lalu, pada saat kita mahu memuja nabi dengan pujian agung, kita seru baginda dengan panggilan yang kita rasa hebat seperti sayyidina, habibuna, khairuna, syafi'una, madad dan sebagainya. Kita tidak merasa hebat untuk Rasulullah jika disebut sebagai hamba Allah dan Rasulnya.

Itu adalah masalah fikiran kita yang dikaburkan oleh kehidupan dunia yang melihat kalimah hamba dengan berpincing mata.

Tujuan hidup dalam dunia adalah menjadi hamba Allah. Itulah yang ditegaskan dalam Quran. Maka, semakin menghambakan diri seseorang kepada Allah, semakin mulia dan tinggilah darjatnya. Di antara semua manusia dan sekian banyak para nabi, nabi Muhammadlah paling tinggi kehambaannya kepada Allah. Sewaktu nabi-nabi lain rasa tidak layak untuk membantu warga mahsyar untuk syafa'atul 'uzma, nabi Musa berkata "pergilah dapatkannya daripada Muhammad SAW kerana dia adalah "hamba".

Maka, panggilan hamba Allah untuk nabi Muhammad adalah semulia-mulia panggilan. Kita yang merasakan diri sebagai hamba Allah dan membahasakan diri sebagai hamba Allah, layakkah untuk menjulang gelaran itu? Berasa malulah untuk mengaku hamba Allah kerana gelaran itu sangat mulia. Gelaran itu lebih mulia dari sekalian banyak gelaran yang ada. Sejauh ini, yang berulangkali diiktiraf sebagai hamba Allah hanyalah nabi Muhammad SAW.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP