CARI KANDUNGAN BLOG

MUHALLIM BIN JASSAMAH

December 21, 2017

Berhubung dengan ayat 94, Surah An-Nisa', kalangan Mufassirin mengaitkan sebab turunnya dengan kisah Muhallim bin Jassamah yang telah membunuh Amir bin Adhbath Al-Asyja'i. Dalam satu misi jihad yang diketua oleh Abu Qotadah, ikut serta bersama adalah Muhallim bin Jassamah. Ketika sampai di satu tempat bernama Idham, mereka bertemu dengan Amir bin Adhbath Al-Asyjai. Beliau telah mengucapkan salam yang menunjukkan dia seorang Muslim. Namun, Muhallim telah membunuhnya.


Antara Muhallim dan Amir ada krisis lama di zaman Jahiliyyah. Dia menduga bahawa Amir mengucapkan salam hanya untuk menyelubungi kekafirannya. Lantas dibunuhnya atas dasar dia orang kafir dan waktu itu adalah waktu dalam misi perang.

Hal itu diadukan oleh sahabat lain kepada Rasulullah SAW. Baginda merasa marah terhadap kelancangan Muhallim itu dan tidak menerima alasan Muhallim bahawa Amir menyimpan kekufuran dalam hatinya. Baginda mempersoalkan apakah Muhallim telah membelah hatinya untu tahu rahsia dalam hatinya. Hanya perakuan lidah, telah menjadikan seornag itu muslim dan tidak perlu mengorek rahsia di lubuk sanubari.

Muhallim mohon agar Rasulullah mohon ampun kepada Allah untuknya. Akan tetapi rasulullah enggan memohon ampun untuknya. Riwayat mengenai kesudahan hidup Muhallim itu agak samar. Ada riwayat mengatakan bahawa tak sampai 7 hari selepas kejadian itu dia meninggal dunia. Mayatnya yang telah dikebumikan oleh kaum keluarganya terbongkar keluar dari kubur dengan sendiri. Beberapa kali ditanam semula, begitulah juga jadinya. Lalu, mereka meletakkannya atas tanah dan menutup dengan batu-batu sehingga mayatnya tidak dapat selamat daripada makanan binatang buas.

Dikatakan Rasulullah SAW, menanggapi peristiwa berkata: Sesungguhnya bumi menerima mayat orang yang lebih jahat daripadanya, tetapi menolak mayat Muhallim kerana Allah ingin menunjukkan akibat seornag yang membunuh seorang mukmin.

Ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa Muhallim bukan mati dengan cara itu. Yang mati dengan cara itu orang lain. Ada kekeliruan dengan seornag lagi yang mati dan mayatnya dimunta oleh bumi iaitu seornag penulis wahyu Rasulullah SAW yang tidak dinyatakan namanya. Dia murtad dan menjadi Nasrani selepas itu. Bila mati, mayatnya dimuntahkan bumi. Kisahnya adalah disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah.

Sementara Muhallim, ada riwayat menyebutkan bahawa dia hidup sehingga zaman pemerintahan Ibn Zubair dan meninggal di Homs.

Wallahu a'lam. Sejarah banyak simpang siurnya.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP