CARI KANDUNGAN BLOG

TAFSIR ZAMAKHSYARI.

December 3, 2016

Zamakhsyari merupakan salah seorang Imam Muktazilah pada zamannya. Beliau adalah Abu Al-Qasim Mahmud bin Umar bin Muhammad bin Umar Al-Khawarizmi Az-Zamakhsyari (467H-538H).

Di antara Akidah muktazilah ialah menafikan melihat Allah (ru'yatullah ) di akhirat. Ahli Sunnah meyakini hal tersebut berdasarkan dalil-dalil yang jelas daripada Al-Quran maupun hadis. 

Di antara dalil yang menyebutkan mengenai melihat Allah ialah ayat 26 Surah Yunus, di mana Allah menyatakan:

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ


" Bagi orang yang berbuat baik akan mendapat "husna" ( Syurga) dan "ziadah" (Melihat Allah).
(Surah Yunus: Ayat 26) 

Zamakhsyari menafikan peluang melihat Allah dan menyebutkan "husna' dalam ayat tersebut bermaksud pahala dan 'ziadah' pula ialah apa yang lebih daripada pahala tersebut. Beliau menyebut riwayat daripada Ali r.a yang menyatakan bahawa 'ziadah' itu ialah satu bilik dalam syurga daripada mutiara. Demikian juga riwayat Ibn Abbas yang menyifatkan bahawa 'husna' adalah adalah satu kebaikan dan 'ziadah\ adalah ganjaran 10 kali ganda. Riwayat Al-hasan menyatakan bahawa ia adalah 10 kali ganda hingga 700  kali ganda. Mujahid menyatakan bahawa 'ziadah' itu adalah keampunan dan redha Allah SWT. Menurut Yazid bin Syajarah  pula, 'ziadah' ialah dibawakan awan atas ahli syurga lalu daripada awan itu dihujankan apa sahaja kehendak ahli syurga.

Seterusnya Zamakhsyari  menyebutkan bahawa tafsiran yang menyebutkan bahawa 'ziadah' bermaksud peluang melihat Allah dalam syurga adalah pandangan golongan Musyabbihah/Mujassimah yang bersandarkan hadis marfu' yang diriwayatkan dalam Saheh Muslim iaitu:

 Sabda Rasulullah SAW:

إذا دخل أهل الجنة الجنة يقول الله تبارك وتعالى: تريدون شيئاً أزيدكم ؟ فيقولون: ألم تبيض وجوهنا؟ ألم تدخلنا الجنة؟ وتنجنا من النار؟. قال: فيكشف الحجاب، فما أعطوا شيئاً أحب إليهم من النظر إلى ربهم عز وجل" ثم تلا رسول الله صلى الله عليه وسلم هذه الآية: - للذين أحسنوا الحسنى وزيادة

 "Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah SWT pun berkata kepada mereka: Apakah kamu inginkan sesuatu yang aku tambahkan untuk kamu daripada nikmat syurga ini? Para ahli syurga pun berkata: Bukankah telah kau putihkan wajah kami, telah Kau masukkan kami ke dalam syurgaMu dan selamatkan kami dari nerakaMu? Kata Rasulllah SAW: Hijab pun dibuka dan tidak ada sesuatu yang lebih disukai oleh Ahli syurga selain daripada melihat kepada Tuhan mereka. Rasulullah SAW pun membacakan ayat ini:
للذين أحسنوا الحسنى وزيادة


Daripada ulasan Zamakhyari berhubung ayat tersebut, dapatlah dibaca sikapnya dalam bab "rukyatullah" yang menjadi salah satu ciri keimanan golongan Ahli Sunnah. bahkan beliau melebelkan mereka yang percaya bahawa Allah boleh dilihat dalam syurga itu sebagai golongan Musyabbihah. 

Menjadi perangai golongan Muktazilah sepanjang zaman melebelkan ulama-ulama Ahli Sunnah sebagai Mujassimah dan Musyabbihah kerana itulah watak pendahulu mereka. Perhatikan dan lihatlah contoh-contoh masa lalu untuk anda memahami masa kini. Lihat watak hari ini dan semak apa yang telah dibuat para pendahulu yang menunjuk tauladan buruk yang sepatutnya jadi sempadan.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP