CARI KANDUNGAN BLOG

TAHU SEMUA JANGAN BERITAHU SEMUA.

June 29, 2015

 
 ليس كل ما يُعلم مما هو حق يطلب نشره
" Bukanlah semua yang diketahui itu perlu disebarkan".

Perkataan di atas diambil daripada Imam As-Syatibi. Perkataan ini adalah bersandarkan apa yang dinyatakan dalam banyak hadis yang membawa mesej menahan diri dari ghairah menyebarkan apa yang diketahui.

Abu Hurairah pernah berkata:

حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وِعَاءَيْنِ ، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَبَثَثْتُهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَلَوْ بَثَثْتُهُ قُطِعَ هَذَا الْبُلْعُومُ
" Aku telah hafaz dari Rasulullah SAW dua bejana hadis. Salah satunya aku sebarkan dan yang satu lagi kalau aku sebarkan sudah tentu dipotonglah leherku ini". ( H.R Bukhari, No 120)

Para ulama Hadis menyatakan bahawa hadis yang disembunyikan oleh Abu Hurairah itu adalah yang berkaitan dengan fitnah yang akan terjadi dan siapa yang menjadi puncanya. Abu Hurairah dikatakan telah berdoa agar beliau tidak dihidupkan Allah melewati tahun 60 H dan merasai pemerintahan kanak-kanak. Pada tahun 60 H, kewafatan Saidina Mu'awiyah telah diikuti dengan perlantikan Yazid anaknya sebagai khalifah seterusnya. Itulah bermulanya zaman fitnah yang mana penguasa zalim mula menindas rakyat. Doa Abu Hurairah telah dimakbulkan Allah dan beliau wafat pada tahun 57 H atau 59 H menurut satu riwayat yang lain. Sudah tentu jika Abu Hurairah menceritakan apa yang dia dengar daripada Rasulullah mengenai kepala-kepala jabbar tersebut, dia akan mendapat musibah sampai terbunuh. Demikianlah apa yang difahami oleh para ulama Hadis mengenai penyembunyian hadis oleh Abu Hurairah.

Namun, ada dakwaan di kalangan sebahagian ahli sufi bahawa yang disembunyikan oleh Abu Hurairah tersebut adalah ilmu hakikat yang menjadi identiti mereka termasuklah Wehdatul Wujud yang menjadi satu maqam di antara maqam dalam falsafah martabat tujuh. Dakwaan ini tidak berasas kerana jika benar, sudah tentu Abu Hurairah akan dedahkan untuk segelintir tertentu dan tidaklah sampai membawa kepada fitnah dibunuh.

Pada satu ketika Rasulullah SAW telah bersabda kepada Muaz bin Jabal:


ما من عبد يشهد أن لا إله إلا الله ، وأن محمداً عبده ورسوله صدقا من قلبه إلا حرمه الله على النار

" Tidak ada seorang hamba yang bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan mengakui bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulNya dengan benar-benar daripada hatinya, melainkan Allah akan haramkan neraka untuknya".

Muaz bin Jabal berkata: bolehkan aku khabarkan kepada manusia supaya mereka gembira?

Kata Rasulullah SAW: Jika begitu mereka akan bermudah-mudah ( Tidak mahu beramal)

Muaz bin Jabal hanya mengkhabarkan hadis ini bila dia sudah hampir meninggal kerana takut dosa menyembunyikan hadis. 
(Hadis Muttafaq Alaih)

Kerana itu, seorang alim jangan beritahu semua apa yang dia tahu. Lihat kepad asiapa yang dia mahu sampaikan ilmunya. Lihat juga pada keadaan dan situasi.

Seorang murid sekolah rendah jangan diberitahu ilmu-ilmu yang diajar di peringkat universiti. Orang kampung jangan diceritakan ilmu khilafiah yang perdebatan hangat para sarjana. Jika salah menyampaikan ilmu, kebaikan tidak akan datang sebaliknya yang datang adalah fitnah dan sengketa. sebahagian ilmu adalah untuk amalan diri sendiri dan sebahagiannya wajar disebarkan.

Wallahu a'lam!

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP