CARI KANDUNGAN BLOG

DAKHAN

June 27, 2015


(Merujuk kepada maksud Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-Fitan)

Ini zaman di mana kebaikan ditempeli dengan "dakhan". Apakah itu dakhan?

Perkataan "dakhan" disebutkan dalam hadis riwayat sahabat nabi yang bernama Huzaifah. Pada satu hari beliau telah bertanya Rasulullah SAW tentang peredaran zaman. Rasulullah SAW menyatakan bahawa selepas zaman kebaikan akan datang zaman di mana kejahatan berleluasa. Setelah itu akan datang zaman yang mana kebaikan pula menguasai. Walau bagaimanapun, pada zaman kebaikan menguasai itu, akan wujud "dakhan".

Para ulama, ketika menghuraikan hadis ini menyatakan "dakhan" adalah kekotoran. Ia umpama asap bila kayu api dibakar. Bukan semata-mata api yang bernyala. Bersama api disertai dengan asap jelaga yang menimbulkan bau dan warna yang mencemarkan. Kebaikan yang didakwa itu tidaklah murni. Hati manusia tidak lagi suci seutuhnya.Sebaliknya di dalamnya tersimpan dengki, kerosakan dan perpecahan. Setengah ulama menjelaskan lagi dengan membawa perumpamaan "dakhan" itu adalah warna balau pada haiwan. Putih seakan-akan hitam. Orang kampung yang bela kerbau sebut kerbau balau atau balar.

Setelah berlalunya zaman penuh kebaikan yang ada pada zaman nabi, zaman-zaman yang menyimpan kebaikan sesudahnya akan bertempelan dengan "dakhan". Sebagaimana zaman sebagai satu tempoh masa, punya "dakhan", maka demikianlah orang-orang yang hidup dalam zaman tersebut. Begitu juga jama'ah-jamaah yang menjadi tumpat bernaung orang Islam sepanjang zaman, juga dikulati "dakhan" itu.

Jamaah Pas itu baik, tetapi ada "dakhan". Jamaah Tabligh itu baik, namun juga ada "dakhan". Jama'ah Hizbut Tahrir itui pun baik, tetapi ada "dakhan". Jama'ah Ikhwanul Muslimin adalah baik tapi tetap ada "dakhan". ABIM, JIM, Jamia't Islami, Salafiyyun, An-Nahdhoh, AKP, PKS dan beratus-ratus lagi Jamaah orang-orang Islam (Jama'atul Muslimin) yang dibangunkan untuk perjuangan di seantero dunia, semuanya baik tetapi "dakhan" tetap menalari pada urat nadinya. Ia sudah menjadi sunnatullah untuk yang ada pada zaman sesudah berlalunya zaman kebaikan tulin awal yang dicetuskan oleh Rasulullah SAW.

Setelah berlalunya zaman fitnah yang menyaksikan perselisihan sebahagian para sahabat hingga terjadinya perang Al-Jamal dan Siffin, maka datanglah zaman berikut yang ada kebaikan. Itulah zaman di mana kaum Muslimin kembali bersatu menjadi Jamaah Kaum Muslimin di bawah pemerintahan Dinasti Umaiyyah, Abbasiyyah dan Othmaniyyah. Banyak kebaikan yang terhasil pada zaman-zaman tersebut. Daerah kekuasaan Islam dilebarkan dan dakwah diperluaskan ke rantau dunia yang jauh. Ketamadunan ilmu berkembang pesat. Ummat Islam bangkit menjadi kuasa besar dunia. Namun, sepanjang zaman-zaman tersebut, ada "dakhan". Ada kelompok sesat yang muncul seperti Muktazilah, Jabariah, Rafidhan. Qaramitah, Bathiniyyah dan seumpamanya.

Akan tetapi, dalam dalam setiap "dakhan" itu, tersimpan pula kebaikan. pula. dalam kebaikan itu pula, ada dakhan yang lain. Muktazilah umpamanya, walaupun ia menjadi "dakhan" kepada zaman, ia mempunyai kebaikannya. Berapa ramai tokoh ilmuan Islam yang datang dari kelompok tersebut dan sebahagian mereka namanya mencipta kebanggaan ilmu buat ummat Islam.

Kita sedang berada pada zaman asap jelaga "dakhan" meruap di sana sini. Jangan rasa diri cukup baik. Jangan rasa kelompok sendiri cukup baik. Dalam diri ada "dakhan". Dalam Jema'ah sendiri ada dakhan. Jemaah orang lain pun ada "dakhan". Ulama besar hebat ternama, pun ada "dakhan". Camkan baik-baik hakikat itu. Jika dia ada kesilapan, itu kerana "dakhan"nya telah muncul di permukaan.

Namun, perlawanan antara kebaikan dan kejahatan tetap dipisahkan oleh sempadan yang jelas.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP