CARI KANDUNGAN BLOG

DAURAH 213

September 21, 2010


TARIKH
20/09/2010
SURAH
YUNUS :34-43
MUKA SURAT
213
PENEGERUSI
EN SURADI BIN M.ARIF
ULASAN TAJWEED
UST. WAN HELMI
TERJEMAHAN AYAT
EN. MUDA BIN AJAK
TAFSEER AYAT
UST KAMARUDDIN WAHAB

ULASAN TAMBAHAN DAN PERSOALAN

1) EN SAMIT

Apakah anak seorang muslim perlu mengucap 2 kalimah syahadah untuk menjadikan dia seorang Islam?

Ust Kama: Tidak perlu mengucap shahadah lagi untuk menjadikannya Islam kerana dia telah Islam. Seorang anak kecil perlu dididik dengan tarbiah Islam. Dengan tarbiah tersebut, dia akan melalui fasa di mana keluar ungkapan shahadah dari mulutnya. Bila dia baligh, tidaklah perlu lagi dia mengulangi shadahnya. Dia telah mengucapkannya sebelum wajibnya. Maka di saat wajibnya, tidak perlu mengulangi.


Rujuk: Ibn Taimiyyah


2) SURADI MOHD ARIF


a) Dalam Islam, seseorang yang murtad hendaklah diajak kembali kepada Islam. Bukankah dia telah ditentukan murtad, maka apa gunanya lagi membawanya kembali kepada Islam? Tidakkah usaha membawanya kembali kepada ISlam itu menyalahi ketentuan takdir azali Allah SWT?

b) Dalam satu kuliah Subuh, ust Kama menyebutkan bahawa Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang kafir. Apakah ini bermakna mereka yang kafir tidak akan mendapat hidayah Allah SWT selama-lamanya? Bagaimana dengan apa yang kita saksikan, ramai pula orang kafir yang mendapat hidayah dan  masuk Islam?


Ust Kama: Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang kafir. Kata-kata ini terakam dalam firman Allah SWT:


وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ 
  "Dan Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang kafir".

Terdapat banyak lagi ayat Al-Quran yang membawa maksud yang serupa.

Terdapat 2 interpretasi di kalangan ulama dalam memahami ayat-ayat seperti ini:

a)  Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang telah tertulis sejak azali lagi sebagai kafir. 

b) Ayat ini umum untuk semua orang kafir tetapi hendaklah dibaca dengan ayat-ayat lain yang mengkhususkannya.

Syeikh Uthaimin menyebutkan dalam tafsirnya mengenai ayat ini dengan menyatakan bahawa hidayah yang tidak Allah berikan kepada orang kafir itu ialah hidayah taufiq. Adapun hidayah dilalah, maka Allah berikan kepada semua manusia dengan perutusan para rasulNya. Orang-orang kafir yang telah ditentukan kekufurannya sejak azali, mereka tidak ditaufiqkan untuk mencapai hidayah. Allah berfirman dalam Al-Quran:

إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ  وَلَوْ جَاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّى يَرَوْا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

"Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu, tidaklah akan beriman, meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih."

(Surah Yunus: Ayat 96-97)

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ
"Sesungguhnya ada lelakim yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dia dan neraka tinggal sehasta lagi lalu ketetapan Allah telah mendahulunya, maka dia berubah melakukan amal ahli syurga lalu masuklah ia ke dalam syurga".
Kesimpulan: Orang-orang kafir yang tidak diberi hidayah oleh Allah menurut ayat adalah mereka yang telah tertulis sejak azali lagi sebagai kafir. Allah maha mengetahui bahawa  mereka adalah orang-orang jahat dan kafir serta enggan menerima seruan dakwah para rasulnya. Mereka yang sebegini, memanglah Allah tidak akan berikan kepada mereka hidayah lagi. Sementara orang kafir yang dalam catatan azali Allah SWT akan beriman, mereka Allah jadikan berjiwa lembut dan mudah menerima hidayah.

c) Dalam satu kuliah mingguan Ust Wan Helmi menyatakan bahawa memberi salam adalah lebih baik daripada menjawab salam. Bukankah memberi salam itu sunat dan menjawabnya adalah wajib? Bagaimana yang sunat dikatakan lebih baik daripada yang wajib?

Ust Kama: Memberi salam itu sememangnya sunat. Dan menjawab salam pula adalah wajib. Bukanlah soal mengafdhalkan yang sunat melebih wajib. Dalam isu salam ini, dibanding antara memberi dan menjawab, maka memberi itu lebih afdhal. Lagi pula, orang yang memberi salam itu mendapat pahala orang menjawab salam juga kerana ia bertindak sebagai dalilul khair (penunjuk jalan kepada kebaikan). Kalau tidak pemberi salam, manakan ada yang menjawab salam?


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP