CARI KANDUNGAN BLOG

Daurah 13

August 25, 2008

Surah Al-Baqarah: M/S 15
Isi-isi penting:
1. Lantaran dakwaan semborono yahudi yang mengatakan mereka tidak akan dimasukkan ke neraka kecuali beberapa hari sahaja dan dakwaan bahawa yang akan masuk syurga itu hanya yahudi atau nasrani, maka Allah mencabar supaya mereka mereka minta mati namun Yahudi tidak akan minta mati kerana mereka takut mati.
2. Meminta mati adalah dilarang jika tujuannya kerana mahu lari daripada musibah dan penderitaan tetapi digalakkan dan sunnat jika kerana cinta kepada Allah dan ingin bertemunya.
3. Orang yahudi dan orang musyrikin arab merupakan golongan yang takut kepada kematian. Kafir musyrikin takut mati kerana sayangkan dunia mereka tetapi Yahud lebih takutkan kematian kerana sayangkan dunia dan takut pembalasan Allah atas penyelewengan mereka.
4. Sebab nuzul ayat96-97 adalah kerana perkataan orang Yahud kepada nabi setelah nabi mengatakan pemimpinnya adalah Jibrail. Yahudi mengatakan: "Jibrail adalah musuh kami.Jika kamu mengatakan Mikail sebagai pemimpinnya, tentu kami akan mengikutimu...".
Komen
Tajweed
Hukum Iqlab-Diterangkan oleh Ust. M. Shahran
Isu-isu yang dibincangkan
1. Ustaz Farihan menimbulkan isu membelakangkan Al-Quran sebagaimana disebutkan dalam ayat terakhir m/s 14. Minta penjelasan mengenai bersumpah memegang Al-Quran.
Ust. Kamaruddin menjelaskan bahawa perkara tersebut dihuraikan oleh ramai tokoh dan ulama. Yang jelas bersumpah dengan Al-Quran merupakan satu rekayasa dan bid'ah dalam agama. Ia juga membawa kepada tasyyabbuh bil kuffar yang dilarang.
Maksud membelakangkan Al-Quran adalah tidak melaksanakan kandungannya dan mengambil selain daripadanya.
2. En Suradi menimbulkan 3 isu berdasarkan 3 hadis
.
A. Terdapat hadis yang melarang bersugi pada bulan Ramadhan setelah gelincir matahari. Terdapat juga haduis yang menyebutkan bahawa nabi Muhammad menggalakkan bersugi setiap kali hendak menunaikan solat. Bagaimana mendamaikan antara dua hadis ini yang kelihatan bertentangan. Ust Hakim bin Hamdan, mengulas dengan menyebutkan bahawa hadis larangan bersugi setelah gelincir matahari bagi orang berpuasa adalah lemah sedangkan hadis galakkan bersugi setiap kali hendak solat adalah kuat. Oleh itu, hadis yang kuat hendaklah diutamakan dalam pengamalan.
B. Solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah. Ust Hamdan, menjawab persoalan tersebut dengan mangatakan bahawa para ulama punya pandangan yang berbeza dalam hal ini. Terdapat hadis nabi pernah menyuruh seorang yang masuk ke masjid supaya solat tahiyyatul masjid dahulu padahal ketika itu nabi sedang berkhutbah. Namun, hadis ini dibincangkann kalangan ulama bahawa suruhan nabi itu bukan membawa maksud perlu solat sunat tahiyyatul masjid bila masuk ke dalam masjid miski khatib sedang berkhutbah, tetapi ada sebab yang lain. Ada pandangan mengatakan nabi mahu para sahabat melihat kesusahan lelaki tersebut yang mana selepas itu para sahabat bersedeqah kepadanya. Menurut ust. Hamdan, bila kita memasuki masjid, mendapati ada halaqah pengajian fardhu ain, dan orang yang masuk itu pun baru masuk Islam dan memerlukan ilmu-ilmu fardhu ain, maka duduk dalam majlis lebih utama daripada solat sunat tahiyyatulmasjid. Jika tidak, solat tahiyyatul masjid lebih utama. Antara khutbah jumaat dan solat tahiyyatulmasjid khutbah jumaat adalah wajib dan solat tahiyyatul masjid adalah sunat. Oleh itu, hendaklah mengutamakan yang wajib. Walau bagaimanapun terdapat dua pandangan dan kedua-duanya boleh dipakai.
C. Hadis yang memberi panduan ketika bersujud iaitu menurunkan lutut dahulu disusuli dengan tangan dan dilarang bersujud seperti unta. Apakah maksud bersujud seperti unta? ust. Hakim bin Hamdan menerangkan bahawa tabia'at unta apabila ingin duduk, dadanya ke depan dan turun dahulu. Apabila bangun, buntutnya mendahulu.
3. Ust. Mahyuddin menimbulkan persoalan mengenai bersugi dengan menggunakan kayu sugi dan menggunakan berus gigi biasa, adakah perbezaan di antara keduanya. Ustaz Kamaruddin menjelaskan bahawa bersugi menggunakan kayu sugi adalah sunnah baginda. Jika bersugi menggunakan kayu sugi, seseorang itu mendapat dua pahala iaitu pahala ittiba' Rasulullah dan pahala melaksanakan sunnah bersugi atas prinsipnya. Jika menggunakan berus gigi, dapatlah pahala mengamalkan sunnah bersugi dari segi prinsipnya. Penjelasan ustaz Hamdan mendatangkan perbahsan yang lebih mendalam. Ust. Hamdan menerangkan bahawa sebahagian ulama membahagikan sunnah kepada dua iaitu sunnah tasyri'iyyah dan sunnah ghairu tasyri'iyyah. Dalam kes bersugi, sunnah tasyri'iyyah adalah bersugi membersihkan mulut dan yang ghairu tasyri'iyyahnya adalah menggunakan kayu sugi. Menurutnya, Abu Jahal pun menggunakan kayu sugi dan kayu sugi bukan milik mutlak syariat Islam. Misal yang lain ialah seperti menaiki unta boleh digantikan dengan menaiki kapal terbang kerana menunggang unta bukan sunnah tasyri'iyyah walaupun ia menjadi amalan nabi Muhammad.

TAMBAHAN

Daurah pada malam ini mengucapkan terimakasih kepada Ustaz Hakim dan ayahnya Ust. Hamdan atas kehadiran mereka dan penglibatan serta sumbangan pandangan dan pendapat dalam daurah pada malam ini. Ust. Hakim datang ke Sabah bertemu isterinya yang bertugas di Elopora Bistari. Ayahnya juga datang bersama dan secara kebetulan mereka singgah di Masjid Al-Fajar. Daripada perbualan selepas itu, Ust. Hamdan merupakan ahli daurah pengajian hadis darul Kausar yang dikendalikan oleh Ust Maulana Asri Yusuf.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP