CARI KANDUNGAN BLOG

Ar-Rijal bin Unfuwah

March 12, 2019

Beliau adalah salah seorang anggota rombongan orang Yamamah belasan orang yang datang beriman dengan nabi SAW pada Tahun Wufud ( 'Amul Wufud)  iaitu selepas perjanjian Hudaibiyah pada tahun ke-6 H.  Beliau belajar dengan nabi SAW, menghafaz Al-Quran dan menampakkan ciri-ciri muslim soleh yang tinggal bersama sahabat-sahabat nabi yang lain di Madinah. Abu Hurairah menyebutkan bahawa pada satu hari, beliau duduk dalam satu majlis di mana dalamnya ada Ar-Rijal bin Unfuwah dan beberapa sahabat nabi SAW. Nabi SAW telah bersabda:


إِنَّ فِيكُمْ لَرَجُلا ضَرْسُهُ فِي النَّارِ أَعْظَمُ مِنْ أُحُدٍ
" Sesungguhnya ada seorang lelaki yang yang gusinya dalam neraka lebih besar daripada bukit Uhud".


Abu Hurairah berkata apabila semua yang dalam majlis itu telah mati satu demi satu, tinggallah dia dan Ar-Rijal bin Unfuwah. Abu Hurairah bimbang kalau-kalau dia lelaki yang dimaksudkan itu. Tetapi, apabila berlaku perang membanteras golongan murtad di zaman Abu Bakar, didapatinya Ar-Rijal bin Unfuwah telah bersama Musailamah Al-Kazzab, tahulah Abu Hurairah bahawa lelaki yang dimaksudkan Rasulullah SAW itua adalah Ar-Rijal bin Unfuwah.
Sebelum itu, pada waktu Musailamah mengiklankan kenabiannya selepas wafatnya Rasulullah SAW, Abu Bakar As-Siddiq menghantarkan Ar-Rijal bin Unfuwah untuk berdiskusi dengan Musailamah. Akan tetapi Musailamah telah berjaya mempengaruhi Ar-Rijal sehingga beliau mengakui kenabian Musailamah. 

Maka, Ar-Rijal menjadi satu ancaman berbahaya kepada kaum Muslimin, lebih daripada bahayanya Musailamah sendiri kerana pengetahuannya yang luas tentang Islam berbanding Musailamah.

Dalam perang Al-Yamamah, Ar-Rijal bin Unfuwah telah mati dibunuh oleh Zaid bin Al-Khattab.


Kisah mengenai lelaki ini ada di nukilkan dalam kitab-kitab sirah seperti Al-Bidayah Wan Nihayah oleh Ibn Kathir rahimahullah.

Walau bagaimanapun, terdapat kritikan terhadap kesahehan cerita ini kerana ada perawi yang bernama Saif bin Umair yang dituduh sebagai pendusta.

Darut Qutni yang menyebutkan hadis mengenai gusi besar bukit uhud itu juga tidak sertakan sanad

Cerita kemurtadan Ar-Rijal ini disebutkan juga oleh Ibn Abdul Barr dalam kitabnya Al-Isti'aab, Ibn Hajar dalam Al-Isobah dan sebelum itu lagi oleh Ibn Saad dalam At-Tobaqaat. Namun semuanya tidak disertakan sanad. Maka cerita yang sebegini, walaupun masyhur disebutkan dalam kitab-kitab, ia tidak dapat dimuktamadkan kebenarannya.

Apapun, tidak dapat dinafikan bahawa dalam kelompok sahabat nabi tersebut ada musang berbulu ayam yang dipanggil munafiq. Namun, tentunya bukan sebagaimana yang ditohmahkan kaum Syiah yang menimpakan tuduhan tersebut atas sahabat-sahabat nabi yang teruji kesetiaan dan keteguhan mereka mereka seperti Abu bakar, Umar, Uthman dan lain-lain sahabat yang utama.

Sebuah hadis dalam Saheh Muslim menyebutkan bahawa nabi SAW telah bersabda :

 إن في أمتي اثنا عشر منافقاً، لا يدخلون الجنة ولا يجدون ريحها حتى يلج الجمل في سم الخياط، ثمانية منهم تكفيكهم الدبيلة، سراج من النار يظهر في أكتافهم، حتى ينجم من 
صدورهم


" Sesungguhnya dalam kalangan ummatku ada 12 orang munafiq. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sehinggalah unta masuk ke lubang jarum. 8 daripada mereka akan mati kerana penyakit Dubailah" iaitu nyalaan  daripada api yang kelihatan di bahu mereka sehingga menghunjam dada mereka."


Wallahu a'lam.






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP